Jumaat, 11 September 2009

Pemimpin BN jangan kejar populariti

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak harus ghairah untuk meraih populariti di kalangan ahli parti sehingga menyebabkan mereka dibenci oleh rakyat.

Pengerusi BN itu berkata, tumpuan utama setiap pemimpin itu hendaklah untuk meraih populariti di kalangan rakyat bagi membolehkan BN menang pada pilihan raya akan datang.

“Populariti di kalangan ahli sahaja dengan menang jawatan dalam parti tidak mencukupi jika parti tidak lagi relevan dan dapat memenangi hati rakyat, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu katanya, mulai hari ini beliau telah menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang harus dipatuhi oleh MIC iaitu untuk mendapatkan kembali sokongan masyarakat India di negara ini. - Utusan 12/09/09

Selasa, 8 September 2009

DAP paling aktif bantu SPR daftar pengundi

DAP adalah parti yang paling aktif dalam membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan pengundi baru yang melepasi umur 21 tahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) tahun lalu.

Ia diikuti oleh Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala yang paling lembap adalah MIC dan Gerakan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika mendedahkannya berkata, rekod SPR itu adalah berdasarkan komitmen dan kerjasama positif parti-parti politik dalam menarik hampir empat juta rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, kerjasama SPR dengan parti-parti politik itu adalah menerusi Penolong Pendaftar Sementara (PPS) yang diberi kuasa oleh badan itu untuk berbuat demikian.

"PPS dari DAP mengatasi parti-parti lain di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Melaka.

"Daripada kutipan data pemilih baru sejak PRU-12, kita dapati kesedaran kaum Cina sebagai pengundi pilihan raya adalah yang paling tinggi sementara terendah adalah kaum India," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Wan Ahmad berkata, SPR menghargai daya usaha PPS dalam menarik minat orang ramai mendaftar menjadi pemilih memandangkan tanggungjawab besar yang dipikulnya berikutan setiap tahun terdapat 400,000 orang mencapai umur 21 tahun.

"Kumpulan PPS inilah yang paling berkesan dalam mencari dan mendaftarkan pemilih baru berbanding kakitangan SPR yang turun padang, diikuti di pendaftaran di pejabat pos dan kaunter.

"Tahun lepas terdapat kira-kira 2,000 PPS di seluruh negara. Mereka begitu rajin sekarang dan bila rajin, tinggilah pendapatan mereka yang diberi RM1 jika berjaya mendaftarkan seorang pemilih baru," katanya.

Sehubungan itu, Wan Ahmad berkata, beliau akan mencadangkan kepada SPR supaya menambah bilangan PPS sedia ada iaitu dari seorang setiap parti untuk satu Dewan Undangan Negeri kepada tiga hingga lima orang.

"Mungkin kita akan mencadangkan supaya setiap daerah mengundi diperuntukkan seorang PPS bagi setiap parti," katanya.

Petikan Utusan Malaysia Online 09/09/09