Selasa, 1 Disember 2009

Benarkah UMNO sudah "busuk sampai ke usus"?

Dr M dedah bekas pemimpin dakwa UMNO ‘busuk hingga ke ususnya’

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terkejut apabila mendapat reaksi daripada seorang bekas pimpinan kanan UMNO mengatakan ‘parti itu busuk hingga ke ususnya’.

Memetik dari laman blognya, beliau yang sedang meneliti reaksi rakyat terhadap pimpinan baru UMNO menjelang pilihan raya umum ke-13 turut diberitahu bahawa bekas pemimpin kanan parti itu sedang memikirkan untuk menyokong Pas.

Bekas Perdana Menteri berkata, ini adalah antara banyak hujah yang akan menyebabkan UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara ini.

“Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau (bekas pemimpin kanan UMNO) sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

“Rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) semuanya berpecah dan lemah dan mereka tidak mampu menjayakan BN. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja,” katanya.

Beliau berkata, ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara sependapat dengan bekas pemimpin kanan parti itu dengan menyifatkan UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi.

“Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan bahkan juga berpeluang untuk menjadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar,” katanya.

Menurutnya, bekas pemimpin kanan itu menjelaskan ketua cawangan tidak akan membenarkan sesiapa yang lebih terpelajar darinya masuk UMNO cawangan itu bagi mengelakkan dirinya dicabar.

“Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan.

“Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun,” katanya.

Beliau berkata, atas sebab ‘busuknya pemimpin UMNO di semua peringkat’ menyebabkan tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO sebaliknya mereka menyertai Pas.

Petikan dari Sinar Harian 2/12/09

** Ada benarnya dakwaan Tun itu dan sekiranya ia tidak diatasi maka sudah pasti PRU13 nanti musibah akan melanda UMNO.Tetapi apabila kuasa dan nafsu menguasai diri itu semua sudah tidak penting..yang penting aku lah ketua cawangan...aku lah Pengerusi JKKK...maka orang kampung nak apa2 mesti tunduk..siapa2 yang tidak sebulu..walaupun rumah yg didiami nk runtuh pun masih tidak layak utk baiki atau dapat rumahh pprt...ini bukan dakwaan kosong tetapi ia benar2 berlaku..